Diskaun! Adakah Ianya BAIK Atau BURUK Untuk Perniagaan Anda?

March 23, 2017


Minyak naik 20 sen. Ianya sedikit sebanyak mengganggu rutin harian semua orang. 20 sen kelihatan kecil namun jika didarabkan dengan liter-liter yang kita isi, 20 sen boleh menjadi RM10 sekelip mata. Jika kita banyak berjalan dengan kenderaan kita, RM10 berganda menjadi RM20, RM30 dan sebagainya.

Namun, bayangkan, bayangkan jika tiba-tiba anda ternampak sekeping kupon diskaun RM10 untuk pembelian minyak kereta. Adakah anda akan menggunakan kupon tersebut? Sudah tentu jawapannya YA!

Jika saya sendiri yang kerap melakukan perjalanan jauh ini mendapat kupon sedemikian, saya akan menggunakannya tanpa segan silu.

Siapa yang tidak ingin mengurangkan sedikit daripada kos mereka jika dibenarkan? Semua pun nak, kan?

Untuk post kali ini, saya akan mendedahkan kepada anda akan satu kesilapan terbesar dalam menggunakan diskaun. Namun, bukan sebagai pengguna tetapi sebagai PENIAGA.

Dalam artikel ini anda akan dapat:
  • ✿ Mengetahui maksud sebenar Diskaun
  • ✿ Mengetahui kebaikan memberi Diskaun
  • ✿ Mengetahui keburukan memberi Diskaun
  • ✿ Mengesan kesilapan memberi Diskaun dan cara mengatasinya

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN DISKAUN?
Diskaun adalah satu bentuk penurunan harga. Ianya boleh datang dalam bentuk kupon, penurunan harga secara terus, pemberian hadiah, bonus dan sebagainya. Diskaun tidak pernah menambah nilai melainkan menurunkan nilai sahaja.

Secara rasionalnya, hampir semua pengguna di dunia sukakan diskaun. Untuk membuktikan kata-kata ini, baca kata-kata berikut:
  • ➤ "Kak, tak boleh turun sikit lagi ke?" <--- Di pasar, kat kedai pakaian dan sebagainya
  • ➤ "Oh! Saya ada kupon. Tunggu kejap ye, nak ambil kat dalam dompet kejap" <-- Di Pizza Hut, KFC dan sebagainya
  • ➤ "Dik, akak guna kad ni dapat diskaun member tak?" <--- Di The Store dan kedai-kedai seangkatan yang menggunakan sistem kad member.
  • ➤ "Saya dah cukup cop kat kupon ni, jadi boleh dapat free gunting rambut kan?" <-- Kedai gunting rambut

Ada banyak lagi kewujudan diskaun dalam kehidupan seharian kita. Asasnya, ia berkaitan dengan penurunan harga barang jualan.

KEBAIKAN DISKAUN?
Jika kita lihat contoh di atas tadi, secara majoritinya, diskaun menguntungkan pengguna.

Pengguna dapat membeli harga barang atau perkhidmatan yang mereka inginkan dengan harga yang lebih murah. Pada masa sama juga, diskaun merugikan peniaga. Ini kerana peniaga terpaksa menurunkan harga barang mereka.

Namun demikian, mengapa peniaga bertindak memberikan diskaun seandainya ia merugikan?

Ini kerana para peniaga boleh menggunakan konsep memberi diskaun ini untuk kebaikan mereka. Seperti kegilaan orang kepada benda yang percuma, pemberian diskaun juga memberi kesan sama. Ini dibuktikan dengan SALE, MEGA SALE, Harga Runtuh, Diskaun 70%, Diskaun 50% dan pelbagai lagi slogan para peniaga.

Untuk memudahkan anda, ini adalah antara beberapa senarai kebaikan memberi diskaun:

1. CEPAT DAPAT JUALAN
Bagi penjelasan ini, saya akan menggunakan contoh penjualan sebuah ebook.
Bayangkan saya telah menghasilkan sebuah ebook. Harga asal ebook ini adalah RM100.
Untuk mempercepatkan proses mendapatkan jualan, saya meletakkan post di forum
WangCyber seperti di bawah ini:
  • ➤ "Salam semua, saya baru menghasilkan sebuah ebook berjudul...."
  • ➤ "Ebook ini dapat melonjakkan penjualan barang jualan anda sebanyak 100%..."
  • ➤ "Istimewa untuk member-member forum WangCyber sahaja, saya meletakkan diskaun tak ingat dunia sebanyak 40% kepada 10 orang pembeli pertama."
  • ➤ "Sila komen "Saya Nak" kat bawah dan anda akan dapat diskaun ini.
  • ➤ "Cepat! Sebelum tawaran ini TAMAT."

Sense of urgency. 
Mendesak jualan dengan memendekkan peluang. Bagi yang berminat sudah tentu akan "Saya Nak" dengan cepat. Bagi yang tidak berminat, namun nampak peluang ini juga akan "Saya Nak". Siapa yang tak nak diskaun 40% untuk sesuatu yang bernilai RM100?

Serupa juga jika anda menjual selimut dan anda memberi diskaun 10% sempena Hari Raya, mesti ramai akan berebut-rebut nak membeli selimut anda. Hari Raya hanya setahun sekali. Takkan mereka nak tunggu tahun depan untuk memiliki selimut empuk jualan anda, kan?

2. CEPAT POPULAR
Di pekan daerah saya dulu, ada sebuah syarikat bas express yang baru memberikan sebotol minuman  mineral  untuk  penumpang yang menaiki bas mereka. Teknik ini berjaya menjatuhkan pesaing mereka yang sememangnya sudah cukup popular dalam sekelip mata.

Dalam konteks ini, diskaun tersebut adalah dalam bentuk air mineral tadi. Teknik ini memberi kebaikan dari segi pengiklanan mulut ke mulut. Apabila orang tahu bahawa mereka akan mendapat air mineral percuma seandainya menaiki bas express baru ini, mereka mulai meninggalkan syarikat bas lama. Pelanggan-pelanggan ini mengejar peluang yang ada, diskaun yang ditawarkan.

Serupa juga jika anda membuat blog baru dan menawarkan hadiah untuk Segmen Menambah Follower yang anda anjurkan. Hadiah tersebut adalah satu bentuk diskaun. Sekelip mata, ramai blogger datang ke blog anda, membuat post dan meletakkan link anda di dalam post mereka. Anda mendapat backlink dan juga follower ramai dalam masa singkat. Anda mungkin baru sahaja menceburi dunia blogging namun sudah mampu menyaingi blogger
popular.

3. BUKA RUANG KEPADA PRODUK BARU
Jika anda peminat kepada mi segera, saya yakin anda kenal akan brand Maggi. Maggi mengeluarkan produk Maggi Perisa Ayam, Perisa Asam Laksa dan Perisa Kari. Kepopularan Maggi seolah-olah tiada tandingan lagi. Namun, pada satu hari, seorang pelajar universiti yang memang menjadi rutinnya makan Maggi tiba-tiba ternampak satu pek mi segera baru.

Ianya adalah Mi Sedap.

Mi Sedap adalah mi segera brand daripada Indonesia. Namun, harga jualannya adalah amat murah jika dibandingkan dengan Maggi. Budak tadi dengan terujanya membeli Mi Sedap tersebut. Mungkin anda tidak sedar namun bagi budak-budak universiti atau kolej, pasaran mi segera adalah pasaran yang paling diperhatikan oleh mereka. Mendapat tahu bahawa Mi Sedap memberi diskaun (harga murah) menyebabkan mereka mencubanya dan beralih arah kepada brand tersebut.

APA SILAPNYA DENGAN DISKAUN?
Diskaun  memang  banyak  membantu  dalam  mempercepatkan  proses  mempopularkan, meningkatkan jualan dan sebagainya namun kesilapan atau kelemahan teknik ini ialah, peniaga tidak dapat menjual pada harga sebenar produk mereka.

Penjual ebook terpaksa menjual beberapa buah buku pertamanya dengan harga lebih rendah. Ini akan menurunkan nilai sebenar buku tadi. Penjual pakaian terpaksa menurunkan harga jualan mereka. Pelanggan menunggu waktu sale untuk membuat pembelian mereka.

Saya pernah mendengar seorang peniaga mengatakan ayat ini, "Hanya peniaga bodoh sahaja melakukan perniagaan tetapi tidak menghasilkan untung dalam setiap langkah"

Mungkin ianya kedengaran agak kasar, namun poin yang kita boleh dapat ialah, tidak logik untuk peniaga merugikan diri mereka. Jika mereka melakukan hal ini, kesannya amat buruk sekali:
  • ✽ Pelanggan akan ketagih untuk meminta diskaun - Ada diskaun lagi tak macam mula-mula dulu? Ala... Slot tu sedikit sangat. Saya tunggu ada tawaran diskaun lagilah.
  • ✽ Keuntungan yang kita harus dapat ialah RM100 tetapi menjadi RM60 kerana tawaran tak masuk akal diskaun 40%. Banyak terjual tetapi semuanya dijual dengan harga murah.
  • ✽ Pelanggan akan ada sikap menunggu - "Filem "Mat Bonda" ni tengah hot sekarang. Tapi saya dapat kupon untuk satu tiket free masa makan KFC tadi. Nak bawa awek tengok filem ni, jadi kena dapatkan satu lagi tiket free." Sedar-sedar, seminggu kemudian budak ni dan aweknya dah boleh menonton filem ni kat YouTube. Gara-gara nak tunggu kupon tu, dua tiket tidak terjual.
  • ✽ Pelanggan hanya akan membeli jika ditawarkan harga serupa yang orang lain dapat. Dia boleh dapat dengan harga RM60, saya pun mesti boleh dapat harga sama.

Ada banyak lagi contoh yang kita boleh nampak dalam kehidupan seharian kita bahawa memberi diskaun ini tidak pernah menguntungkan peniaga. Ianya adalah satu kesilapan terbesar.

Jika anda perasan, saya mengatakan bahawa memberi diskaun ini adalah "kesilapan terbesar". Saya tidak mengatakan bahawa ianya keburukan kerana ianya memberi sedikit positf seperti di bahagian kebaikan tadi. Namun, ianya menjadi kesilapan kerana peniaga boleh memiliki kesan atau efek serupa namun tanpa memberikan diskaun. Berikut adalah caranya:

MEMBAIKI KESILAPAN MEMBERI DISKAUN
Jika produk ebook anda bernilai RM100, kekalkan nilai tersebut dan jangan sesekali menurunkan harganya. Anda boleh mendapatkan efek serupa seperti popular dengan cepat, melakukan jualan dengan cepat dan sebagainya dengan melakukan nilai tambah kepada ebook anda.

Sebagai contoh,
  • ❥ "Untuk 10 pembeli pertama, saya akan memberikan satu ebook tambahan. Ebook ini akan..."
  • ❥ "Sempena Hari Raya Aidiladha ini, setiap pembelian pakaian jenama XXX melebihi 10 pakaian akan mendapat..."

Mungkin ada yang akan berkata bahawa rugilah sebab kena bagi ebook tambahan atau nilai tambah lain. Jika anda fikirkan, anda mengekalkan nilai barangan anda, RM100 kekal RM100, anda akan dapat banyak nilai positif.

Contoh Matematik mudah:
  • ❥ Anda berjaya menjual 100 buah ebook.
  • ❥ Jika anda menjual 90 buah ebook RM100 dan 10 ebook lagi dengan RM60. Pendapatan anda ialah: RM9,600
  • ❥ Namun, jika anda menjual 100 buah ebook anda dengan nilai RM100, pendapatan anda ialah : RM10,000.
Tujuan kita mengekalkan nilai ebook kita adalah agar orang tahu bahawa produk kita tidak semudah itu untuk diturunkan harga. Ianya berkualiti. Dengan melakukan langkah ini, pembeli tidak akan menunggu untuk kita menurunkan harga lagi.

Mereka tahu anda tidak akan menurunkan harga jadi mereka akan membeli dengan harga asal anda, RM100.

Psikologi manusia, setelah mereka tahu bahawa sesuatu produk itu boleh didapatkan dengan nilai jauh lebih rendah, mereka tidak akan berminat untuk membeli dengan nilai atau harga asal yang anda tawarkan. Mereka akan menunggu sehingga anda menurunkan harga hingga mencapai nilai harga selepas diskaun tersebut dan membeli ketika itu.

NOTA: Mana tahu, ada yang terlepas nilai tambah tersebut menawarkan pula untuk membelinya. Jadi jualan anda yang sepatutnya RM10000 menjadi lebih daripada itu!

KESIMPULAN
Sebagai peniaga, saya amat galakkan anda tidak memberi diskaun yang mana akan merugikan anda untuk jangka masa panjang. Untuk mendapatkan publisti, menjadi lebih popular atau melakukan jualan pantas, anda boleh memberikan nilai tambah kepada pembeli anda. Nilai tambah ini akan menguatkan lagi nilai produk anda.

Klik #SHARE jika mendapat ilmu dari sini.

No comments:

Powered by Blogger.